Monday, September 7, 2009

Ponteng, gengster tangani hingga ke akar umbi

MUKADIMAH

JIKA hendak dilenturkan buluh, biarlah dari rebungnya. Demikian juga kehidupan anak-

anak yang perlu dibentuk sejak mereka lahir ke dunia.

Ketika lahir, bayi ibarat kain putih, ibu bapa yang perlu mencorakkan warnanya bagi melahirkan seorang insan berhemah dan lengkap dengan nilai-nilai murni.

Sejak kecil sehingga remaja, anak-anak terdedah dengan pelbagai gejala sosial yang mempengaruhi kehidupan seharian mereka.

Daripada tingkah laku dan disiplin, remaja hari ini dihambat oleh budaya tidak sihat seperti ponteng sekolah, gangsterisme dan melepak.

Masalah ponteng misalnya kini berada ditahap kritikal memandangkan ia dianggap sebagai langkah pertama remaja memasuki dunia yang penuh dengan masalah.

Begitu juga masalah gangsterisme dan lepak. Kedua-duanya juga merupakan gejala yang berpotensi mempengaruhi anak-anak remaja jika tidak dibendung lebih awal.

Konvensyen `Memerangi Gejala Sosial Dalam Era Dunia Tanpa Sempadan' anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat baru-baru ini mendedahkan pelbagai usaha dan saranan bagi menangani gejala negatif ini di kalangan remaja.

Wartawan Rosmah Dain berkongsi maklumat itu dengan pembaca.

Lepak, gengsterisme dan ponteng kini menjadi virus baru yang perlu diberi perhatian serius kerana ia membabitkan remaja. Ponteng sekolah ditakrifkan sebagai ketidakhadiran pelajar ke sekolah dengan sengaja tanpa ada sebarang alasan yang munasabah.

Masa yang sepatutnya digunakan untuk menimba ilmu di bangku sekolah dihabiskan dengan melakukan pelbagai aktiviti yang tidak berfaedah seperti melepak di kompleks-kompleks membeli-belah atau pusat-pusat rekreasi.

Gengsterisma pula adalah situasi di mana remaja terlibat dalam pelbagai kegiatan yang salah di sisi undang-undang tetapi memberi kepuasan kepada mereka.

Apa yang lebih membimbangkan kebanyakan pelajar yang terlibat dengan gejala ini adalah anak-anak remaja Melayu.

Menurut Rasidah Datuk Omar dari Biro Tatanegara, Jabatan Perdana Menteri, kegiatan ponteng sekolah dilakukan secara berkelompok dan mereka memilih sebuah kawasan tertentu untuk dijadikan `port' untuk melepak.

``Jika tidak memakai baju sekolah, tentu ramai tidak menyangka mereka ini golongan pelajar. Biasanya mereka akan merokok, melalak sesuka hati dan berpeleseran.

``Mereka juga melepak di pusat-pusat membeli-belah dengan membuat bising, mengusik anak-anak gadis dan kebanyakan tingkah laku mereka menganggu orang lain,'' katanya.

Rasidah memberitahu, antara faktor-faktor penyebab gejala ponteng ialah akibat terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya yang merupakan kaki ponteng dan gemar pula bercerita mengenai aktiviti kegemaran mereka itu kepada rakan-rakan lain menyebabkan mereka terikut-ikut.

Selain itu kurang perhatian daripada ibu bapa terhadap prestasi akademik dan tingkah laku anak-anak turut menyumbang kepada penyebab berlakunya masalah ini.

``Ibu bapa hari ini sering memanjakan anak-anak mereka dengan wang ringgit sebagai menggantikan masa mereka yang jarang bersama anak-anak.

``Anak-anak yang terlalu dilimpahi dengan kemewahan yang diberikan ibu bapa, secara tidak langsung akan menjadikan mereka tidak menghargai peluang untuk menuntut ilmu di sekolah,'' katanya.

Lebih menyedihkan lagi apabila terdapat ibu bapa yang tidak langsung menyedari anak-anak mereka sebenarnya tidak ke sekolah seperti yang sepatutnya akibat sibuk dengan pekerjaan.

Satu lagi faktor yang menjadi penyebab kepada gejala ini ialah kurangnya minat kepada pelajaran yang diajar oleh guru di sekolah akibat teknik pengajaran yang membosankan.

Rasidah berkata, antara kaedah untuk mengatasi gejala ponteng ialah melalui pembabitan badan-badan tertentu dan agensi-agensi kerajaan dengan mengolah satu program yang sekurang-kurangnya melibatkan aktiviti yang dilakukan seperti Program Pra-Rakan Muda yang mempunyai pelbagai kegiatan yang bersesuaian dengan minat pelajar-pelajar dan tidak membosankan.

Dalam pada itu guru-guru kaunseling juga seharusnya menggunakan pendekatan yang lebih praktikal menghadapi golongan pelajar yang bermasalah.

Di samping itu, sesetengah pihak yang mengandaikan para pelajar yang terlibat dengan gejala ini ialah mereka yang terpinggir dan tidak mempunyai potensi untuk maju dalam pelajaran menyebabkan golongan ini terus tidak mendapat galakan untuk ke sekolah.

``Mungkin ada baiknya jika mengatasi masalah ponteng dengan cara lebih `mesra pelajar' daripada menangani masalah ini dengan cara leteran, surat amaran, gantung sekolah, rotan dan sebagainya,'' katanya.

Dalam pada itu Profesor Madya Datin Dr. Amla HM Salleh dari Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, hasil kajian yang dijalankan beliau menggariskan beberapa jenis kategori ponteng.

Ini termasuk ponteng sekolah (keluar rumah dengan memakai pakaian seragam tetapi tidak ke sekolah), ponteng kelas ( ke sekolah tetapi pada masa pengajaran subjek-subjek tertentu menghilangkan diri, ponteng hati (berada dalam kelas, tetapi fikiran ke tempat lain) dan ponteng akibat bangun lewat.

Katanya, berdasarkan kajian juga, remaja menganggap ponteng kepada mereka bukanlah satu masalah, tetapi adalah penyelesaian kepada `masalah' mereka berikutan sesi pembelajaran yang membosankan, tiada aktiviti yang menyeronokkan, subjek yang diajar tiada kaitan dengan keperluan mereka, guru tidak pandai mengajar - suka marah-marah atau berleter, tidak minat belajar, merasakan hanya membuang masa untuk ke sekolah, dipaksa ke sekolah dan ke sekolah untuk mendapatkan duit poket.

``Kajian juga mendapati ponteng boleh dikaitkan dengan tingkah laku buli, gangsterisme, lepak, berkelahi, tiada motivasi belajar, tiada cita-cita, datang dari keluarga yang bersosial dan berekonomi rendah, terbiar dan mempunyai gaya pembelajaran yang berbeza dengan kumpulan lain,'' katanya.

Beliau memberikan dua strategi utama bagi ibu bapa dan guru-guru dalam menangani gejala ini.

Bagi ibu bapa katanya, mereka perlu sentiasa menghabiskan masa bersama anak-anak, memberi kesedaran kepada anak-anak, membangunkan cita-cita dan impian anak-anak melalui pelbagai aktiviti kerjaya.

``Ibu bapa juga perlu menghormati apa jua cita-cita mereka dengan memberi sokongan dan galakan, memberi perhatian dan pemantauan,'' katanya.

Bagi guru-guru pula, mereka boleh menyesuaikan kaedah pembelajaran dengan minat atau kebolehan dan cita-cita pelajar melalui isi kandungan mata pelajaran.

Apa yang penting guru-guru perlu mempunyai jalinan hubungan yang mesra agar pelajar merasa mereka dihargai. Apa pun yang pasti gejala tidak sihat ini perlu ditangani segera secara serius.