12 Mei - Antara Hukuman Rotan Dengan Kebimbangan Ibu Bapa
ISU hukuman rotan di sekolah yang bagaikan tidak berpenghujung kembali menarik perhatian. Ramai yang memberi pandangan, ada yang bersetuju dan tidak kurang juga yang menentang. |
Malah, di kalangan ibu bapa sendiri turut hangat memperkatakan isu ini yang agak sensitif. Saya difahamkan hukuman rotan yang diperkatakan lebih membabitkan hukuman di khalayak ramai atau public canning.
Hari ini suasana di sekolah amat berbeza berbanding dulu. Ketika zaman sekolah dulu kira-kira 20 tahun lalu, hukuman rotan sebegitu perkara biasa bagi kami. Dah buat salah, kenalah rotan, sekurang-kurangnya jika dirotan depan kawan-kawan lain ketika perhimpunan hukuman berkenaan akan menjadi ‘pengalaman’ yang amat menginsafkan.
Malu kerana dirotan di hadapan kawan lain dan lebih malu kerana orang tahu, kitalah yang melakukan kesalahan itu. Pada masa sama, hukuman itu juga menjadi pengajaran paling berguna kepada pelajar lain supaya tidak melakukan kesalahan sama.
Malah, ketika bersekolah dulu dengar bunyi hentakan kaki cikgu berjalan saja sudah membuatkan kita kecut perut, tetapi hari ini jangan katakan kelibat cikgu, jeritan kemarahannya juga mungkin tidak cukup menakutkan kanak-kanak.
Saya masih ingat lagi cikgu yang amat ‘ditakuti’ ketika bersekolah dulu. Cikgu Ahad, Cikgu Nazimah dan ramai lagi antara yang tidak mungkin dilupakan daripada ingatan. Bukan kerana mereka begitu baik, tetapi ‘kegarangan’ mereka sehingga mendengar mereka berdehem saja sudah membuatkan peluh memercik.
Cikgu Sains Rumah Tangga (SRT), Norzila Omar memang antara yang tersenarai dalam ingatan. Rasanya, ketika tiga tahun belajar SRT dengan Cikgu Norzila tidak terkira berapa kali saya dicubit dan didenda ketuk ketampi. Bukan kerana kesalahan besar, sebaliknya hanya kerana salah menguli doh atau jarak antara jahitan tidak tepat 0.4 cm.
Malah, jika keputusan ujian kurang daripada 60 markah, sudah tentu didenda ketuk ketampi. Walaupun sekadar di depan kelas dan hanya pelajar perempuan saja, malunya tidak terkira kerana sesiapa saja boleh melihat kami didenda.
Namun, sedikit sebanyak hukuman yang dikenakan itu membuatkan kami belajar bersungguh-sungguh bagi mengelakkan daripada didenda lagi. Hasilnya, pada SRP tahun itu, sekolah kami muncul terbaik bagi subjek SRT kerana semua pelajar termasuk yang sering didenda seperti saya dan rakan-rakan lain memperoleh A1. (terima kasih tidak terkira kepada Cikgu Norzila!)
Hakikatnya, bukan sekadar dicubit dan dihukum ketuk ketampi, rotan di khalayak ramai juga antara hukuman popular di sekolah dulu. Namun, hukuman itu hanya dilakukan jika ada pelajar yang melakukan ‘dosa besar’ seperti bergaduh, manakala ‘dosa kecil’ tetap dirotan, tetapi di dalam bilik guru besar atau guru disiplin.
Seingat saya, tidak pernah pula antara kami yang mengadu kepada ibu bapa kerana bimbang bukan simpati yang dapat, sebaliknya mungkin dimarahi kembali. Tiada pula kes yang membawa ibu bapa atau peguam ke sekolah kerana tidak bersetuju dengan hukuman diberikan. Kata orang, dah salah, buatlah cara bersalah, jangan ditutupi dengan cuba untuk meletakkan kesalahan itu kepada orang lain.
Lagipun, bagi saya, jika hukuman itu boleh menyedarkan anak kita, mengapa tidak? Kenapa bersikap begitu defensif sehingga anak langsung tidak boleh dicuit? Ada yang memberi alasan hukuman sebegitu menjatuhkan maruah pelajar berkenaan sebab itulah hukuman rotan di khalayak ramai tidak dibenarkan.
Paling memalukan apabila ada ibu bapa anak dicubit sedikit terus membuat sidang akhbar. Malah, ada yang sanggup menyaman guru kerana menghukum anak yang ditangkap berdua-duaan di sekolah. Alasannya, anak aku, suka hatilah mereka nak buat apa.
Namun, adakah kita sanggup melihat anak terbabit dalam perbuatan tidak sihat sedangkan mereka boleh disedarkan sejak awal lagi? Jangan sampai anak ditangkap melakukan kesalahan lebih besar termasuk menagih dadah atau mungkin sudah termengandung barulah hendak menyesal.
Mengimbas kembali kenangan ketika bersekolah dulu, saya yakin ketegasan gurulah yang membuatkan kami menjadi insan berguna hari ini. Ada yang sudah menjadi orang besar di bank, orang kanan di syarikat korporat, pensyarah, jurutera dan banyak lagi. Mungkin dengan mengembalikan kuasa guru, kita dapat mengekang gejala tidak sihat di kalangan generasi muda hari ini.
Pada masa sama ibu bapa jangan terlalu memanjakan anak kerana jika kita ingin melihat mereka menjadi insan berguna kelak, biarlah kita berpada-pada dalam menyayangi mereka. Peribahasa Melayu ini wajar dijadikan ingatan, jika hendak melentur buluh, biarlah daripada rebungnya, kerana apabila sudah menjadi buluh, amat sukar hendak dilentur, bimbang ia patah ketika itu.
Selamat Hari Guru dan terima kasih khususnya kepada guru dan bekas guru Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang kerana mendidik kami menjadi insan berguna!
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment